Peluang borak dengan Najib, bawa bas maya di ekspo esok

0
7

Kuala Lumpur – Orang ramai berpeluang bercakap telefon dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi Ekspo Negaraku Kuala Lumpur 2017 yang bermula esok hingga 15 Disember depan.

Ekspo yang mempromosikan prasarana negara bertaraf antarabangsa itu julung kali diadakan dan cetusan idea Najib. Ia menyasarkan 500,000 pengunjung selama 30 hari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pengunjung juga akan dikejutkan dengan panggilan rawak daripada pemimpin negara lain.

Menteri berkata, berbanding pameran kerajaan lalu yang berasaskan bacaan, ekspo kali ini bersifat interaktif dalam ruang 3 dimensi.

“Pameran yang diadakan dalam 5 kubah khas yang dibina itu adalah bersifat interaktif, yang menyediakan peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat mengenai segala infrastruktur pengangkutan awam negara hanya menerusi sentuhan, mendengar dan mencuba program simulasi pengangkutan yang disediakan.

“Kali ini setiap program akan bersifat dramatik, di mana dengan sistem interaksi, telefon akan berbunyi untuk dijawab bagi penjelasan lanjut mengenai segala informasi yang dipaparkan pada skrin dalam bentuk grafik.

“Lebih menarik lagi, pengunjung akan menerima panggilan rawak daripada pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada bila-bila masa sepanjang ekspo itu berlangsung dan mana-mana pengunjung menjawab panggilan dapat berbual dengan pemimpin dan menteri kabinet kita,” katanya kepada pemberita selepas program pratonton bersama media mengenai Ekspo Negaraku Kuala Lumpur 2017 di Dataran Merdeka.

Katanya, kubah ketiga dalam ekspo itu menyediakan segmen telekomunikasi dan pengunjung berpeluang menggunakan simulasi pengawal menara trafik udara untuk berkomunikasi dengan juruterbang bagi pelepasan dan pendaratan pesawat di lapangan terbang.

Tambah beliau, pengunjung juga boleh merasai sendiri simulator memandu bas Rapid, simulator perjalanan tren pelbagai Transit Aliran Ringan (LRT), MRT, Sistem Transit Rapid (RTS) Link dan rel berkelajuan tinggi (HSR) dengan tempat duduk sebenar beserta maklumat di skrin televisyen memaparkan destinasi yang dilalui tren.

“Sepanjang ekspo berkenaan, jalan berhampiran Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad akan ditutup untuk awam, dan orang ramai digalakkan menggunakan bas, tren dan motosikal untuk keselamatan umum.

“Malah perbincangan telah diadakan dengan perkhidmatan Grab yang bersetuju menyediakan diskaun RM5 untuk pengunjung ekspo bagi setiap perjalanan mereka.

“Selain itu, bagi memastikan pengunjung dapat menghayati setiap slot dalam 5 kubah itu, kita akan memastikan pergerakan pelawat secara berperingkat supaya suasana lebih selesa dan tidak diganggu kesesakan terlampau.

“Untuk memastikan kanak-kanak dan dewasa terhibur, kita menyediakan trak makanan bergerak, permainan futsal dan program menarik untuk kanak-kanak,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini