TINDAKAN dua lelaki berusia 22 tahun mengedar dadah di sekitar daerah Kubang Pasu mengundang padah apabila ditahan polis di Kepala Batas, Jitra, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu yang menerima maklumat berhubung kegiatan suspek bertindak menahan motosikal Yamaha LC 135 dinaiki suspek di tepi jalan Kepala Batas, Jitra, di sini, jam 5 pagi tadi.

Bagaimanapun, suspek terus melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota polis malah salah seorang suspek turut mencampak satu bungkusan plastik warna hijau ke atas jalan raya.

“Mereka berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi itu dan hasil pemeriksaan di dalam bungkusan plastik yang dibuang itu menemui tiga peket plastik lutsinar disyaki dadah syabu seberat 64.23 gram (g) dan sepeket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 57.05 g.

“Salah seorang suspek turut mengalami kecederaan di lutut kiri akibat bergelut ketika ingin ditangkap polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ismail berkata, mereka ditahan dan dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan mendapati mereka tidak bekerja dan menjalankan aktiviti mengedar dadah di sekitar daerah ini.

“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah methamphetamine dan semakan juga mereka tidak memiliki rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini