ANAK panda gergasi pertama yang dilahirkan di Malaysia, Nuan Nuan seolah-olah ‘merajuk’ kerana tahu akan meninggalkan negara ini.

Nuan Nuan yang dilahirkan pada 18 Ogos 2015 dilihat kurang aktif seperti sebelum ini dan haiwan berkenaan lebih banyak tidur selepas proses pemindahan dari Zoo Negara, pagi tadi.

Pengarah Zoologi Veteriner dan Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara Dr Mat Naim Ramli berkata, tingkah laku Nuan Nuan kurang ceria seperti sebelum ini malah, keadaannya agak lemah.

“Emosinya tidak stabil kerana terdedah dengan bunyi bising selain terkesan dengan pergerakan kenderaan yang agak kuat sepanjang perjalanannya ke Hotel Haiwan MasKargo.

“Oleh kerana itu, kita mengambil masa kira-kira dua jam untuk menenangkan emosi haiwan berkenaan selain memberi ruang untuknya menyesuaikan diri dengan suhu sekeliling.

“Bagaimanapun, reaksi yang ditunjukkan Nuan Nuan tidak bermaksud dia sedih kerana haiwan ini bersifat menyendiri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penghantaran Pulang Anak Panda ke China di Kompleks MASKargo, Sepang, hari ini.

Nuan Nuan yang ditempatkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) Zoo Negara, selama 27 bulan itu dihantar pulang ke Pangkalan Panda Dujiangyan, Sichuan, China, kira-kira 5.40 petang menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH6476.

Dalam pada itu, Mat Naim berkata, pihaknya akan turut sama ke China bersama Nuan Nuan untuk memantau keadaan anak panda terbabit selain mengadakan pertemuan dengan pihak di sana.

“Perpisahan ini sudah semestinya membuatkan kami sedih dan memberi kesan, namun, peluang untuk menjaga Nuan Nuan adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Selepas ini kami berharap diberi peluang untuk menjaga haiwan terancam lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, penghantaran pulang anak panda itu menggunakan pesawat kargo MH6476 yang mengambil masa lebih empat jam.

“Kita berbangga apabila diberi peluang untuk terbabit sama dalam sejarah ini dan penerbangan ini ditaja sepenuhnya oleh MasKargo sebagai perkhidmatan kepada negara,” katanya.

Nuan Nuan ialah anak pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang, yang dipinjamkan kepada Malaysia untuk tempoh 10 tahun oleh kerajaan China.

Kedua-dua spesies panda gergasi yang sebelum ini dikenali sebagai Fu Wa dan Feng Yi ketika berada di China, tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014, bersempena hubungan diplomatik 40 tahun kedua-dua negara.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini