MANILA: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, antara isu dibincangkan dalam pertemuan Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe di sini.

Kedua-duanya mengadakan pertemuan kira-kira 30 minit di hotel penginapan Najib kelmarin, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan sidang kemuncak berkaitan yang berakhir petang ini.

Najib hari ini berkata, Malaysia akan membuka tender untuk pihak yang berminat membida projek HSR Kuala-Singapura.

“Malaysia akan mempertimbangkan bidaan itu secara menyeluruh, ” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Sebelum ini, ada konsortium dianggotai syarikat Jepun berminat untuk merebut tender projekHSR)l Kuala Lumpur-Singapura dan bersedia melakukan pemindahan teknologi berkaitan ke Malaysia.

Bagaimanapun, syarikat dari China, Korea dan Kesatuan Eropah dilaporkan turut berminat.

Projek HSR antara Malaysia-Singapura yang bermula dari Kuala Lumpur dan berakhir di Jurong East, Singapura itu dijangka siap pada 2026 membabitkan landasan sepanjang 350 kilometer (km) serta mempunyai lima transit iaitu Seremban (Negeri Sembilan), Ayer Keroh (Melaka) selain Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri di Johor.

Perdana Menteri berkata, mereka turut membincangkan kerjasama di dalam industri halal dan Malaysia mengalu-alukan kerjasama Jepun.

Katanya, Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada Abe terhadap sumbangan dua kapal kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Mengenai Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun, Najib berkata, mereka mengadakan perbincangan produktif mengenai kerjasama dan hala tuju masa depan serta pertukaran pendapat mengenai isu serantau dan antarabangsa.

“Mengenai kerjasama politik-keselamatan, pemimpin membincangkan kerjasama ASEAN dan Jepun terhadap pelbagai isu seperti membanteras keganasan dan jenayah merentas sempadan.

“Dari segi ekonomi, pemimpin ASEAN dan Jepun memainkan peranan penting dalam perbincangan Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) untuk mencapai persetujuan yang komprehensif dan bermanfaat kepada kedua-dua pihak, ” katanya.

Najib berkata, kedua-dua pihak juga membincangkan kerjasama ASEAN-Jepun dalam perkara sosio-budaya, khusus kepada program pendidikan, belia dan kesalinghubungan manusia.

Katanya, Sidang Kemuncak menghasilkan dua dokumen iaitu Kenyataan Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-20; dan Laporan Eksekutif Mengenai Kemajuan Pelaksaan Kenyataan Visi Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun serta pindaan Pelan Pelaksanaan Kenyataan Visi Persahabatan dan Kerjasama.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini