“SAYA terdengar bunyi dengusan gas sebelum disambar percikan api terus ke badan,” kata mangsa letupan tong gas di Madrasah Irsyadiah Al-Asyraf Al-Wataniah, Sungai Bakap, Nibong Tebal, 30 Oktober lalu.

Mangsa, Shahrin Muhamad, 49, berkata, dalam kejadian 4 petang itu, dia bersama anak perempuannya, Nurul Zulaika, 19, pergi ke pondok didiami wanita berusia 80-an dikenali sebagai ‘Tok Puteh’ kerana diminta untuk melihat keadaan dapur gas yang disyaki mengalami kebocoran.

“Pada mulanya, saya diminta melihat keadaan dapur gas itu pada waktu pagi, tetapi ketika itu ada sedikit urusan perlu diselesaikan sebelum memaklumkan kepada Tok Puteh akan datang pada sebelah petang.

“Semasa berada di dalam pondok saya terhidu bau gas agak kuat sebelum membuka tingkap bagi mengeluarkan bau gas.

“Saya turut mencabut hos gas dan mengambil langkah awal selama 20 minit tanpa menyedari masih terdapat bau gas di dalam dapur,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown, hari ini.

Turut bersamanya di wad berkenaan, isterinya, Noor Wahidah Mohd Ramli, 40-an serta anak perempuan, Nurul Syahirah, 22.

Shahrin berkata, selepas dia memetik suis gas pada dapur gas berkenaan, secara tiba-tiba api menyambarnya menyebabkan seluruh badan merasa pedih sebelum mendapati Nurul Zulaika turut mengalami nasib sama.

Menurutnya, dia bersama anaknya kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap (HKB) untuk pemeriksaan dan rawatan sebelum dipindahkan ke HPP untuk rawatan lanjut.

“Saya dimaklumkan melecur kira-kira 35 peratus di bahagian muka, tangan dan kaki manakala Nurul Zulaika melecur 25 peratus di bahagian sama.

“Saya dan Nurul Zulaika baru sahaja menjalani pembedahan semalam dengan mengambil sedikit kulit paha untuk ditampal ke bahagian kaki yang melecur.

“Syukur Alhamdulillah kini keadaan kami beransur pulih dan berharap agar cepat sembuh,” katanya.

Sementara itu, Nurul Syahirah berkata, dia melahirkan rasa bersyukur kepada Allah SWT kerana ayah dan adiknya terselamat dalam kejadian yang hampir meragut nyawa mereka itu.

Katanya, dia tidak tahu berapa kos rawatan sebenar diperlukan kerana masih belum diberitahu pihak hospital.

“Kos pembedahan dan rawatan mungkin agak tinggi selain ayah serta ibu tidak bekerja selain menolong kerja kebun di pondok sejak keluarga kami berpindah di sini Disember lalu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi isteri mangsa, Noor Wahidah Mohd Ramli di talian 018-9416979 untuk maklumat lanjut.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini