JOHOR BAHRU: Pegawai daerah perlu memainkan peranan utama dalam mengenal pasti masalah berkaitan integriti dan mencari penyelesaian demi pemupukan integriti berimpak tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), Datuk Anis Yusal Yusoff, berkata penyelesaian masalah integriti tidak perlu dibawa ke peringkat pusat tetapi memadai hanya di peringkat daerah.

Katanya, ini kerana pegawai daerah lebih tahu mengenai persekitaran sosial mahu pun demografi di daerah masing-masing, sekali gus mempunyai keupayaan menguruskan masalah integriti di peringkat mereka.

“Setakat ini, INTEGRITI sedang melancarkan siri jelajah di peringkat negeri bagi memupuk kefahaman mengenai peranan ini menjayakan agenda pembudayaan, penghayatan dan pengukuhan integriti selaras dengan Pelan Integriti Nasional (PIN).

“Selepas ini, secara holistiknya kita berharap siri jelajah ini akan dibawa ke peringkat daerah tetapi lebih kepada daerah yang dikenal pasti mempunyai masalah dan ini memerlukan peranan dan kerjasama pegawai daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Integriti Negeri Johor 2017 dan Siri Jelajah Integriti anjuran INTEGRITI dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor di sini, hari ini.

Johor adalah persinggahan keempat sejak program itu dilancarkan pada Ogos yang lalu. Sebelum ini, program berkenaan diadakan di Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang dan akan diadakan di Pahang bulan depan.

Program berkenaan bertujuan mengumpul segala maklumat berkaitan isu integriti di peringkat negeri yang dimuat naik dalam sistem Dashboard Integriti, iaitu satu paparan dalam bentuk pembangunan analisa yang berinformatif dan interaktif.

Anis Yusal berkata, pegawai daerah kemudiannya akan mengumpulkan statistik mengenai permasalahan berkaitan integriti yang dihadapi di kawasan masing-masing.

“Ini bermakna kita akan fokus kepada kawasan yang mempunyai masalah tertentu sahaja kerana setiap demografi berbeza masalahnya.

“Kaedah ini juga lebih realistik berbanding kita datang ke semua tempat. Jadi, kerajaan negeri boleh beri peruntukkan ke atas daerah yang terbabit atas satu-satu masalah tertentu sahaja,” katanya.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini