BATU PAHAT: Mangsa banjir di Ayer Hitam, dekat sini, meningkat kepada 40 orang membabitkan 14 keluarga, petang ini, berbanding 23 mangsa daripada 10 keluarga pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsolbari Jamali, berkata tiga keluarga daripada Kampung Parit Khalil dan Kampung Parit Samion dipindahkan ke pusat pemindahan sementara Dewan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Lorong Telekom Ayer Hitam, sebelum tengah hari tadi.

Katanya, keadaan banjir semakin beransur surut, namun hujan masih berterusan menyebabkan mangsa masih tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Kebanyakan mangsa disebabkan banjir kilat kerana rumah mereka terletak di kawasan rendah sehingga menyebabkan air sehingga paras lutut atau 0.3 meter memasuki dalam rumah.

“Bagaimanapun, kita masih mengambil langkah berjaga-jaga berikutan cuaca mendung dan hujan masih berterusan, walaupun tidak lebat kerana dibimbangi keadaan cuaca semakin buruk menjelang malam dan awal pagi seperti semalam.

“Saya dimaklumkan semua agensi penyelamat termasuk Angkatan Pertahanan Awan Malaysia (APM) juga sudah bersiap siaga jika keadaan cuaca semakin buruk sebelah malam ini kerana hujan masih lagi turun ketika ini.

“Kerjasama semua agensi penyelamat juga amat cemerlang kerana bertindak segera,” katanya kepada BH.

Awal pagi tadi, seramai 23 orang daripada 10 keluarga di Lorong Budin Kilometer (KM) 31.5 Jalan Batu Pahat, Ayer Hitam, dekat sini, terpaksa dipindahkan di pusat pemindahan berikutan banjir selepas hujan lebih dua jam, awal pagi tadi.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini