CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) memaklumkan bahawa beberapa pita magnetik yang mengandungi maklumat sandaran hilang di dalam perjalanan ketika operasi rutin.

Ketua Eksekutif Kumpulan, CIMB Group,Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, sesetengah pita berkenaan mengandungi maklumat tertentu pelanggan CIMB dan anak-anak syarikatnya.

“Berikutan siasatan menyeluruh dan terperinci, pihak bank mendapati tiada bukti bahawa maklumat berkenaan telah dikompromi sama sekali. Ia tidak mengandungi sebarang maklumat pengesahan peribadi seperti nombor PIN, kata laluan atau nombor kad kredit,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihaknya memilih untuk mengambil langkah-langkah konservatif dalam menitikberatkan keselamatan dan perlindungan data dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa serta melipatgandakan usaha untuk melindungi kepentingan pelanggan.

“Berikutan insiden ini, CIMB telah mempertingkatkan lagi langkah keselamatan di semua saluran termasuk memberhentikan sementara beberapa perkhidmatan melalui telefon seperti penukaran alamat, nombor telefon dan e-mel bagi kad debit,kredit; pemindahan wang, urusan pembayaran tanpa T-PIN dan permintaan T-PIN baru.

“Buat masa ini, tiada apa-apa langkah yang perlu diambil oleh pelanggan. Bagaimanapun, CIMB menyarankan agar pelanggan sentiasa berwaspada dan jika curiga, sila rujuk saluran maklumat rasmi CIMB sama ada melalui laman web utama, pusat panggilan perkhidmatan atau cawangan seluruh negara.

“Kami mengambil berat akan tanggungjawab kami terhadap pelanggan dan yakin bahawa langkah-langkah tambahan ini akan terus memelihara keselamatan transaksi pelanggan. Walaupun ini adalah satu insiden terpencil, kami telah mengkaji semula dan mempertingkatkan lagi tahap keselamatan dan memperbaiki proses kami untuk memastikan ia tidak berulang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga memohon maaf jika peningkatan tahap danlangkah-langkah keselamatan yang diambil buat masa ini menyulitkan pelanggan.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menangani sebarang risiko susulan dari insiden ini,” katanya.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini