“BAWALAH jurulatih terbaik dunia sekalipun, beliau tidak mampu mengubah nasib bola sepak kita sekelip mata.”

Itulah pendapat legenda bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh ekoran kegagalan skuad kebangsaan melayakkan diri ke Piala Asia 2019 selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut kepada Korea Utara (1-4), di Buriram, Thailand, malam tadi.

Berikutan kekalahan itu, Malaysia kekal di tangga tercorot dengan hanya satu mata selepas lima perlawanan. Aksi terakhir menentang Lubnan di gelanggang lawan pada 27 Mac depan hanya sekadar pelengkap jadual.

Ia mencetuskan pelbagai polemik dengan bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh lantang mengkritik jurulatih, Nelo Vingada serta meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memecatnya.

Namun, Shukor berpendapat tidak adil untuk meletakkan kesalahan 100 peratus ke atas bahu Vingada.

Sebaliknya, kata beliau, setiap orang perlu menelan hakikat negara tidak memiliki pemain berkualiti untuk memberi cabaran di peringkat antarabangsa.

“Bagi saya pecat jurulatih tidak akan menyelesaikan masalah. Kita gagal bukan kerana jurulatih tidak bagus tapi pemain yang kita miliki tidak mencapai taraf antarabangsa.

SHUKOR anggap tidak adil untuk salahkan Vingada sepenuhnya.

“Ia ibarat seorang tukang masak, kalau bahan yang disediakan tidak cukup atau tidak berkualiti, bagaimana beliau mahu menghasilkan masakan yang sedap,” katanya.

Justeru Shukor berkata, setiap orang perlu bersabar serta memberi peluang kepada FAM untuk memulihkan prestasi pasukan kebangsaan.

Pada masa sama beliau bersetuju dengan formula 70/30 yang menggabungkan lebih ramai pemain muda dengan pemain senior.

Cuma, Shukor berpendapat, skuad kebangsaan perlu didedahkan dengan lebih banyak perlawanan antarabangsa bertaraf A bagi mematangkan pemain.

“Pada zaman kami dulu, skuad kebangsaan menyertai banyak kejohanan sepanjang tahun di rantau Asia seperti Pestabola Merdeka, Piala Presiden (Korea Selatan), Piala Raja Thai (Thailand), Piala Jakartaraya (Indonesia) dan beberapa kejohanan jemputan lagi.

“Selain itu kami juga terbabit dengan Sukan SEA serta perlawanan kelayakan Olimpik, Piala Asia dan Sukan Asia.

“Kekerapan bermain bersama di peringkat antarabangsa bukan saja membuatkan kami serasi malah mencapai kematangan dalam permainan masing-masing.

“’Namun situasi amat berbeza sekarang bila skuad negara hanya bergantung kepada perlawanan kelayakan untuk beraksi bersama. Pada masa sama pemain pula kerap bertukar kerana kegagalan mereka mengekalkan prestasi.

“Saya melihat potensi skuad Bawah 19 dan 23 Tahun sekarang. Jika pemain generasi ini diberi bimbingan yang betul, tidak mustahil untuk kita kembali mencipta kejayaan,” ujar Shukor.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini