TIADA sebarang layanan istimewa akan diberikan kepada skuad bawah 23 tahun negara (B-23) apabila hanya yang terbaik akan disenaraikan membawa cabaran Malaysia pada pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari ini.

Pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee berkata, layanan sama juga akan diberikan termasuk kepada enam pemain berada dalam skuad Harimau Malaya, kendalian Nelo Vingada sepanjang persiapan pasukan muda itu.

Beliau menegaskan, enam pemain B-23 itu adalah Adam Nor Azlin, Syafiq Ahmad, Syamer Kutty Abba, Nor Azam Abdul Azih, Ahmad Khairil Anuar Zamri dan Safawi Rasid dengan empat daripada mereka berada dalam kesebelasan utama ketika tumbang 1-4 kepada Korea Utara pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand malam tadi.

“Iya, sudah pastinya pendedahan dan pengalaman yang mereka raih ketika menentang Korea Utara itu dapat membantu pasukan B-23 di China nanti.

“Namun ia bukan tiket automatik kepada mereka kekal dalam skuad utama kerana mereka juga harus menunjukkan prestasi terbaik sepanjang persiapan pasukan.

“Jika ada pemain memperagakan aksi lebih cemerlang, mengapa saya harus singkirkan pemain itu semata-mata untuk mengekalkan enam pemain berkenaan. Di sinilah mereka perlu mengekalkan prestasi sekali gus membantu pasukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Malaysia muncul juara Kumpulan H pada pusingan kelayakan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Julai lalu, diundi sekumpulan dengan tiga gergasi Asia dalam Kumpulan C iaitu Arab Saudi, Jordan dan Iraq untuk saingan pusingan akhir itu nanti.

Bagi memastikan anak buah Kim Swee benar-benar ampuh sebelum turun memulakan kempen pada 10 Januari depan, mereka bakal menjalani latihan di Korea Selatan dan China.

Mengikut perancangan program, kem latihan pusat tempatan akan diadakan selama 20 hari di Johor Bahru bermula 27 November ini hingga 16 Disember dengan dua perlawanan persahabatan tempatan dijadual pada 9 dan 14 Disember.

Mereka seterusnya akan ke Mokpo, Korea Selatan pada 17 Disember untuk kem latihan pusat selama 14 hari sehingga 30 Disember sebelum ke Nanjing, China untuk kem latihan terakhir selama lapan berakhir 6 Januari.

“Selewat-lewatnya minggu depan saya akan keluarkan senarai pemain untuk latihan pusat pertama di Johor penghujung bulan ini. Selepas itu, saya akan membawa 26 pemain ke Korea sebelum hanya 23 pemain dibawa ke China dengan yang terbaik akan dipilih,” katanya.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini