JOHOR BAHRU: Dua beradik yang dilacurkan oleh ibunya perlu dirujuk kepada pakar psikiatri kanak-kanak untuk pemeriksaan lanjut.

Pakar Psikiatri dari Fakulti Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Najwa Hanim Md Rosli, berkata ini bagi membolehkan keadaan sebenar mereka difahami dan menjalani rawatan trauma.

Katanya, kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan seksual memerlukan rawatan susulan.

“Dengan terdedah kepada seks pada usia seawal mereka, adakalanya boleh membawa pelbagai risiko masalah mental mahupun sosial pada masa depan. Kanak-kanak yang menjadi mangsa seksual ini perlu dipantau oleh pakar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Najwa berkata, tindakan itu penting bagi memastikan kanak-kanak terbabit dapat meneruskan kehidupan baharu selepas trauma.

Ditanya mengenai tindakan ibu mereka yang sanggup melacurkan anak sendiri, beliau berkata ia harus dilihat daripada pelbagai perspektif seperti keadaan sosial wanita terbabit, tiada sokongan keluarga atau tempat bergantung kerana dia seorang ibu tunggal.

“Dalam kes seperti ini, pencegahan awal lebih baik dengan masyarakat sekeliling atau jiran perlu lebih peka dengan mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan BH ke bilik sewa wanita itu di Taman Bintang, Senai mendapati keadaan sekeliling sekitar kawasan berkenaan dipercayai dihuni oleh warga asing, selain terdapat kedai lain yang beroperasi sebelahnya.

Pekerja kedai motor yang enggan dikenali berkata, wanita itu dan dua anaknya baru beberapa bulan menetap di bilik sewa berkenaan yang terletak di atas bangunan kedai gunting rambut.

Katanya, terdapat beberapa bilik kecil yang memisahkan antara bilik sewa yang lain, selain kemungkinan yang menetap di bilik sewa berkenaan dalam kalangan orang tempatan dan warga asing dari India.

“Setiap pagi, wanita itu akan menghantar dua orang anaknya di perhentian bas berhadapan kedai ini (kedai gunting rambut) memakai baju biasa (tidak bekerja). Kemudiannya akan menunggu semula di perhentian bas itu pada waktu tengah hari untuk menjemput anaknya balik sekolah.

“Selain daripada rutin hariannya, saya jarang melihat wanita itu berlegar-legar atau merayau sekitar kawasan ini kerana kebiasannya, wanita itu tidak kerap keluar dari bilik sewa. Dia pun tidak kerap bertegur sapa,” katanya.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini