SUDAHLAH hidup dalam serba kekurangan, tujuh sekeluarga termasuk dua orang kurang upaya (OKU) mental terpaksa tidur berhimpit selepas bahagian bawah rumah sewa yang didiami sejak 10 tahun lalu di Jalan Makam Sheikh Omar, Kampung Melayu, Air Itam, Georgetown, musnah akibat banjir besar melanda negeri ini, 4 November lalu.

Rumah sewa diduduki Rosni Mohamed Pakiry, 57, kini sama sekali tidak sesuai dijadikan tempat tinggal kerana bahagian bawah rumahnya musnah, manakala lantai rumahnya pula berlubang dan semakin mereput selain sudah lebih lima tahun tidak mempunyai bekalan elektrik.

Rosni yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia tiada pilihan selain terus tinggal di rumah itu dengan sewa RM100 sebulan apabila kayu pada rumah berkenaan mulai reput berikutan tidak mampu membayar deposit rumah sewa baharu.

Walaupun beroleh pendapatan RM30 sehari, kesihatannya tidak menentu selepas kemalangan jalan raya beberapa bulan lalu menyebabkan kakinya membengkak sekiranya kerap berjalan.

Ibu tunggal berkenaan ditinggalkan suami sejak 10 tahun lalu dan dia kini tinggal bersama empat daripada enam anaknya iaitu Juliana Abu Bakar, 31, Lili Suriani (OKU), 29, Halilah (OKU), 28, dan Mohd Yasin, 20 serta dua anak Juliana iaitu Mohd Azrul Ashraf, 10, dan Mohd Azril Ashraf, 5, manakala dua lagi anaknya, Rostini, 39, sudah bekeluarga dan Surianti, 26, pula kini bekerja di Jasin, Melaka.

“Juliana bekerja di bahagian bankuet di hotel berhampiran, Mohd Yasin bekerja di kedai makan manakala Lili Suriani dan Halilah pula tidak memiliki kad OKU.

“Pernah beberapa hari kami terputus bekalan makanan berikutan tiada wang dan kami sekeluarga hanya mengalas perut dengan roti selain ihsan jiran yang kerap membantu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sebahagian rumah Rosni yang disewa sebanyak RM100 sebulan, sudah lebih lima tahun tidak mempunyai elektrik. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Tinjauan di rumah keluarga berkenaan mendapati bahagian bawah rumah terbabit sudah ditenggelami selut manakala kawasan dikelilingi hutan itu dipenuhi sampah hanyut selepas banjir.

Rosni terpaksa membakar tilam yang rosak untuk mencetuskan asap bagi menghalau nyamuk di kawasan itu.

Nasib keluarga berkenaan mendapat perhatian Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang selepas menerima maklumat daripada sukarelawan yang bertugas ketika menyelamatkan mangsa banjir, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Pembangunan, Kebajikan dan Sosial PUZ Pulau Pinang Muhamad Shahril Mohd Nasir berkata, PUZ Pulau Pinang bersama PUZ Selangor sudah melawat keluarga berkenaan minggu lalu dan mendapati mereka tidak pernah mendapat bantuan zakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Tindakan awal ialah memberi bantuan kilat sebanyak RM400 dan PUZ akan membantu keluarga terbabit bagi membayar deposit rumah sewa baharu selain beberapa bantuan akan dipertimbangkan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Rosni Mohamed Pakiry di nombor akaun 07100-29-82693377-6.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini