SAO PAULO: McLaren dan Pirelli membatalkan ujian yang dijadualkan di sini, hari ini susulan siri cubaan serta rompakan bersenjata terhadap beberapa pasukan Formula Satu (F1), minggu lalu.

Kru pasukan Mercedes, Williams dan Sauber mengharungi situasi ngeri sama ada dirompak dengan senjata api atau terselamat daripada cubaan merompak menjelang Grand Prix (GP) Brazil di Litar Interlagos, minggu lalu.

McLaren menyatakan tidak berbaloi untuk membahayakan staf pasukannya dengan menjalani ujian di sini selepas beberapa ahli pasukan Mercedes dikejutkan apabila dirompak dan kepala mereka diacukan pistol.

“Kami bersama dengan Pirelli memutuskan untuk membatalkan ujian tayar minggu ini di Interlagos,” menurut McLaren dalam laman Twitter pasukan itu.

“Keselamatan petugas kami sentiasa menjadi keutamaan dan bersandarkan kepada kejadian baru-baru ini, kami berasakan tidak patut ia diteruskan.”

Juara dunia, Lewis Hamilton, Sabtu lalu menggesa badan induk Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk lebih berusaha keras bagi menangani situasi itu.

“Beberapa rakan sepasukan saya ditahan dan diacukan pistol ketika meninggalkan sirkit di sini di Brazil. Tembakan pistol dilepaskan, pistol diletakkan di kepala salah seorang mangsa.

“Ini sesuatu yang amat tidak menyenangkan untuk didengar,” kata pemandu Britain itu menerusi Twitter.

“Perkara ini berlaku setiap tahun di sini. F1 dan pasukan perlu melakukan sesuatu, tiada sebarang alasan!”

Mercedes juga memberi bayangan mereka akan menilai semula kedudukan mereka di Interlagos.

“Kami memberi latihan kepada pekerja kami seandainya insiden seperti ini berlaku. Tapi seperti apa yang berlaku, ada banyak yang boleh kami lakukan, sebagai pasukan dan juga sukan ini,” kata pasukan itu.

Media di Britain minggu lalu turut melaporkan beberapa kru pasukan Williams dan pegawai rasmi FIA turut menjadi sasaran.Masa depan Interlagos selepas perlumbaan pada 2020 tampak samar selepas litar itu dipercayai akan dijual manakala satu-satunya pelumba negara itu, Felipe Massa bersara hujung musim ini. – AFP

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini