Ekspo Negaraku di Dataran Merdeka

0
9

KUALA LUMPUR: Menjelang Ekspo Negaraku yang bakal membuka tirainya esok, hampir semua persiapan utama sudah di peringkat akhir dan hanya menunggu pameran berbentuk interaktif selama sebulan itu bermula.

 

Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka bermula 15 November hingga 15 Disember, menempatkan lima kubah utama memperincikan mengenai pembangunan infrastruktur terkini dan akan datang.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata ekspo infrastruktur terbesar itu bakal mempamerkan pembangunan terkini dan perancangan akan datang kerajaan dalam memberi kehidupan sempurna dan sejahtera bagi rakyat Malaysia.

 

“Expo Negaraku 2017 ini sebahagian usaha dalam memupuk semangat patriotik dan cintakan negara, khususnya terhadap pembangunan yang dikecapi selama ini.

 

“Kita menjangkakan kehadiran kira-kira 500,000 pengunjung selama sebulan ekspo itu berlangsung yang bertujuan merakyatkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) supaya masyarakat mengetahui projek pembangunan dalam negara serta fungsi EPU selama ini hanya di belakang tabir,” katanya ketika dihubungi BH.

 

PERSIAPAN giat dijalankan bersempena Eskpo Negaraku 2017 yang akan berlangsung di Dataran Merdeka bermula 15 November hingga 15 Disember. – Foto Asyraf Hamzah

Terdahulu, jurugambar BH membuat tinjauan persiapan akhir ekspo di Dataran Merdeka.

 

Abdul Rahman berkata, ekspo itu membawa kelainan apabila lebih 60 peratus Dataran Merdeka didirikan lima kubah yang menghubungkan pintu masuk utama, memperlihatkan prasarana yang dibina khas untuk ekspo infrastruktur berkenaan.

 

“Misalnya ruang pameran ini berbentuk interaktif dan dibahagikan kepada sektor infrastruktur berlainan termasuk telekomunikasi, tenaga, pengangkutan, dan sebagainya.

 

“Pengunjung dijangka mengambil masa antara 45 hingga 60 minit bagi melawat keseluruhan pameran dan ekspo ini sesuai untuk semua peringkat umur serta menjadi tarikan utama aktiviti sekeluarga musim cuti sekolah hujung tahun,” katanya.

 

Orang ramai berpeluang menyaksikan pertunjukan cahaya lampu yang dipancarkan pada kubah gergasi di pekarangan Dataran Merdeka, setiap malam.

 

Selain itu ada tema mingguan iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan pada minggu pertama, diikuti Citarasa Kita, Kebudayaan dan Pelancongan, Permainan Tradisional, diakhiri Aktiviti dan Permainan.

 

Berikutan ruang parkir terhad, pengunjung digalakkan menaiki pengangkutan awam untuk memudahkan perjalanan.

 

INFO

 

Kubah 1>

Tema: Rasa Bertuah Dirasai Bersama

Tayangan video kehidupan rakyat Malaysia yang dilimpahi tuah hasil daripada kemajuan infrastruktur negara.

 

 

Kubah 2

Kemudahan infrastruktur

Menyaksikan transformasi kepada kehidupan rakyat Malaysia termasuk lapangan terbang, sistem transit aliran massa hingga ke penjanaan kuasa.

 

 

Kubah 3

Kehidupan dan kesejahteraan

Program dan inisiatif yang disediakan termasuk daripada aspek kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi, pembangunan inklusif dan lain lain.

 

 

Kubah 4

Gaya hidup Malaysia

Panorama Kuala Lumpur dari Menara PNB118, landskap Pulau Langkawi dari puncak kereta kabel, serta infrastruktur moden sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.

 

 

Kubah 5

Masa depan kita

Paparan visual 360 darjah mengenai gambaran masa depan negara menerusi pembangunan Bandar Malaysia, Malaysia Vision Valley dan MyHSR.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini