HELAH isteri yang mendakwa diculik terbongkar apabila mengaku melarikan diri bersama seorang lelaki selepas ditemui polis di Meru, Klang, semalam.

Kejadian berlaku 4.30 petang Jumaat lalu apabila wanita berusia 40 tahun itu tidak muncul ketika suaminya mahu mengambilnya pulang dari tempat kerja di sekolah di Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, mangsa yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sekolah itu tidak pulang pada hari berkenaan dan keesokannya suami mangsa berusia 55 tahun menerima panggilan melalui nombor telefon isterinya.

“Panggilan itu meminta suami mangsa menyediakan wang tebusan RM5,000 jika mahu isterinya dilepaskan.

“Bimbang dengan keselamatan isteri, suaminya melaporkan kejadian itu kepada polis,” katanya.

Beliau berkata, hasil risikan polis dari cawangan IPD Klang Utara berjaya menahan wanita dipercayai ada kaitan dengan kejadian itu, 9.30 pagi semalam di Klang.

Mazelan berkata, susulan penahanan itu, polis menemui mangsa di hadapan restoran di Jalan Meru, Klang, 11.30 pagi semalam.

Beliau berkata, ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan baik.

Katanya, polis berjaya menahan suspek yang dipercayai teman lelaki mangsa, 2.30 petang semalam.

Menurutnya, soal siasat mendapati, mangsa mengaku tidak diculik tetapi melarikan diri daripada suaminya kerana bimbang dipukul jika suaminya mengetahui hubungannya dengan suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini