PENJAGA anak panda gergasi, Ahmad Farhan Ahmad Razei, 26, sanggup tidak pulang ke rumah semalam, semata-mata untuk meluangkan masa bersama Nuan Nuan, sebelum haiwan itu dihantar pulang ke China, hari ini.

Katanya, kepulangan Nuan Nuan ke China memberi kesan amat besar kepadanya, selain mengakui sangat sedih memandangkan mereka mula rapat sejak seminggu selepas anak panda itu dilahirkan.

“Biasanya, saya akan berhenti di sangkar Nuan Nuan sebelum memulakan kerja setiap hari dan rutin itu dilakukan sejak dua tahun lalu.

“Selepas ini saya akan kehilangan rutin harian dan pasti saya akan berasa kekok sedikit untuk memulakan kerja tanpa Nuan Nuan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Majlis Penghantaran Pulang Anak Panda ke China di Hotel Haiwan MasKargo, Sepang, hari ini.

Ahmad Farhan berkata, hari ini dia berkesempatan memberi Nuan Nuan makanan kegemarannya seperti lobak merah dan kek panda yang diperbuat daripada kacang soya, jagung dan beras sebagai tanda perpisahan.

“Semalam adalah hari terakhir saya dapat bermanja dengan Nuan Nuan dan saya membuat keputusan untuk tidak pulang ke rumah.

“Sebaliknya saya menghabiskan masa sepanjang hari bersamanya di zoo, dan hari ini saya sempat menghantarnya untuk pulang ke China,” katanya.

Nuan Nuan ialah anak pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang yang dilahirkan di Malaysia pada 18 Ogos 2015.

Haiwan berkenaan ditempatkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) Zoo Negara, selama 27 bulan dan dihantar pulang ke Pangkalan Panda Dujiangyan, Sichuan, China, 5.40 petang tadi.

Menceritakan mengenai anak panda itu, Ahmad Farhan berkata, Nuan Nuan adalah haiwan yang baik dan suka bermain dengan anak patung panda sejak kecil lagi.

“Nuan Nuan hanya memilih anak patung panda berbanding anak patung lain untuk dia bermain malah, akan memeluk patung berkenaan ketika sedang tidur.

“Dia juga adalah anak panda yang ceria, selain suka bermain terutama dengan bola dan penyapu sebaik bangun dari tidur,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Farhan berkata, anak panda gergasi itu gemar meletakkan kakinya di celah sangkar bagi membolehkan Ahmad Farhan memegang seketika sebelum pulang ke rumah selepas habis bekerja.

“Sebelum ini, saya biasanya akan memeriksa Nuan Nuan sebelum pulang ke rumah untuk memastikan dia berada dalam keadaan baik dan tidur dengan nyenyak.

“Walaupun saya tidak lagi menjaga Nuan Nuan selepas ini, namun saya mempunyai ibu bapanya iaitu Xing Xing dan Liang Liang untuk dijaga,” katanya.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini