LELAKI cuba membunuh diri dengan mengelar tangannya menggunakan pisau cukur di tepi pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu, 8 pagi hari ini.

Lelaki berusia 20-an itu bertindak demikian kerana kecewa selepas mengetahui teman wanitanya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Difahamkan, sebelum kejadian, lelaki itu dikatakan menghubungi kekasihnya namun gagal dan mendapati wanita itu bersama lelaki lain.

Dia kemudian pergi ke tepi pantai dan minum minuman keras sebelum dipercayai mengelar tangan kirinya menggunakan pisau cukur.

Sepasukan polis yang sedang membuat rondaan di kawasan itu melihat kejadian dan kemudian memujuk lelaki terbabit.

Selepas hampir 10 minit, dia kemudian memberhentikan perbuatannya lalu anggota polis bersama kakitangan paramedik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, membuat rawatan awal sebelum membawanya ke HQE.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mangsa kini masih menerima rawatan di HQE dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini