PEMAIN Harimau Malaya enggan menyalahkan jurulatih, Nelo Vingada selepas skuad itu tersingkir daripada kempen kelayakan Piala Asia 2019, malam tadi.

Tonggak pertahanan Harimau Malaya, Nazirul Naim Che Hashim menyifatkan pengendali kelahiran Portugal itu tidak mempunyai banyak pilihan untuk membentuk skuad lebih mantap selain berdepan masalah masa yang singkat untuk melakukan persiapan.

“Daripada segi jurulatih, bagi saya dia (Vingada) bagus dan tegas. Tapi, mungkin dengan keadaan pemain yang dipanggil sebelum ini dan sekarang, dia tidak banyak pilihan.

“Mungkin juga pemain tidak dapat mempersembahkan apa yang dia nak di atas padang. Malah, sebelum dipanggil (menyertai skuad kebangsaan) pun pemain masih ada perlawanan (liga) dan ia memaksa pemain lambat melapor diri bersama pasukan.

“Ia menyaksikan kami kesuntukan masa untuk berlatih bersama bagi mendapatkan keserasian dan inilah keputusan terbaik yang kami boleh dapatkan,” kata Nazirul ketika ditemui di hotel kediaman pemain di sini, malam tadi.

VINGADA (kanan) tidak bersalah atas kekalahan skuad negara. -Foto oleh Naim Mahamud / www.asiana.my

Harimau Malaya terpaksa melupakan impian mara ke pusingan akhir kejohanan terbesar Asia itu selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Korea Utara pada aksi Kumpulan B di Stadium I-Mobile.

Tewas dengan jumlah jaringan sama 4-1 kepada Korea Utara pada Jumaat lalu dan malam tadi menyaksikan anak didik Vingada kekal di kedudukan tercorot kumpulan selepas lima perlawanan.

Mengulas lanjut, Nazirul menjelaskan semua pemain dan jurulatih kecewa dengan kekalahan itu sambil berharap penyokong dapat memahami masalah dihadapi skuad Harimau Malaya ketika ini.

“Bukan saya nak bagi alasan punca kekalahan kami, tapi semua pemain perlukan masa untuk bersama bagi mendapatkan keserasian terutama dengan beberapa pemain yang dipanggil buat kali pertama,” katanya.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini