MELAKA: Seorang bapa enam anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini hari ini, atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, tiga tahun lalu.

Tertuduh yang berumur 32 tahun itu didakwa melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak perempuan di sebuah rumah di Umbai, Jasin dekat sini, antara 1 tengah hari dan 4 petang, Feb 2014.

Tertuduh yang bekerja sebagai pemetik kelapa didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Dis untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Nora Yaacob, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini