BEBERAPA kawasan sekitar daerah Jempol dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih lima jam sejak awal pagi ini.

Antara kawasan dinaiki air ialah Kampung Serampang Indah, Kampung Gajah Mati, Taman Anggerik, Batu Kikir dan Jalan Taman Mahsan.

Ketua Kampung Serampang Indah, Amran Mohamad berkata, hujan lebat sejak jam 6 pagi ini menyebabkan berlaku banjir kilat dan sembilan rumah sudah dinaiki air.

“€œSetakat jam 11 pagi ini, air sudah mencecah hampir satu meter, namun keadaan masih terkawal. Hanya tiga daripada sembilan rumah berpenghuni dan mereka tidak mahu berpindah keluar.

“€œBagaimanapun, penghuni lain sudah bersiap sedia kerana bimbang air semakin naik, malah jalan masuk ke kampung juga sudah ditenggelami air dan tidak dapat dilalui kenderaan ringan,”€ katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Antara rumah di Kampung Serampang Indah dinaiki air susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh Datuk Mohammad Razi Kail turut ke lokasi melihat keadaan.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menutup sementara Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang dan Taman Anggerik di Batu Kikir akibat jalan dinaiki air.

Jurutera JKR Daerah Jempol, Rosdi Abu Bakar berkata, jalan berkenaan ditutup atas faktor keselamatan kerana arus deras.

“€œBuat masa ini pengguna yang mahu ke Simpang Pertang boleh menggunakan Jalan Bandar Seri Jempol-Serting Tengah atau Air Hitam melalui Bahau,”€ katanya.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini