KUALA LUMPUR: Pelakon, Ashraf Muslim dan Kamal Adli, masing-masing menerima tiga pencalonan pada Anugerah Telenovela 2017 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 23 Disember depan.

Dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Ashraf mendapat dua pencalonan menerusi drama iaitu Mr Boss, Miss Stalker dan Biar Aku Jadi Penunggu. Drama pertama itu juga membolehkannya disenaraikan dalam kategori Pelakon Lelaki Popular.

Kamal pula dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik hasil lakonannya dalam drama, Pergilah Air Mata dan Sha & Shah. Beliau juga dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Popular menerusi Pergilah Air Mata.

Pada majlis pengumuman Top 10 anugerah berkenaan yang berlangsung di sini, sebentar tadi, pelakon seperti Alif Satar, Fattah Amin, Amar Baharin dan Shukri Yahaya turut cemerlang apabila masing-masing menerima dua pencalonan.

Nama lain yang turut melekat dalam pencalonan kategori terbabit ialah Idris Khan, Hafreez Adam, Zul Ariffin dan Aqasha.

Dalam kategori wanita, Siti Saleha, Tiz Zaqyah, Janna Nick, Zahirah Macwilson, Mia Ahmad, Syatilla Melvin dan Neelofa masing-masing menerima pencalonan dalam kedua-dua kategori, Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Wanita Popular.

Tidak ketinggalan dicalonkan dalam dua kategori itu ialah Nadiya Nisaa, Nelydia Senrose, Nur Fazura, Siti Nordiana, Mira Filzah dan Emma Maembong.

Sebanyak 23 kategori dipertandingkan membabitkan 38 drama popular yang diangkat daripada novel atau dibukukan.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini