KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) kini dijenamakan semula sebagai Parti Demokratik Progresif (PDP).

Ia sebahagian daripada inisiatif kepemimpinan parti itu untuk memperkukuhkan kedudukannya, selain memastikannya relevan seiring perkembangan semasa.

Majlis Pelancaran Nama dan Logo PDP disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, di sini malam tadi.

Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata ditubuhkan pada 2002 sebelum diterima sebagai komponen BN Sarawak, sudah tiba masa parti itu melaksanakan proses penjenamaan semulanya.

Malah, beliau menjelaskan inisiatif itu juga sebahagian daripada usaha memperluaskan cawangannya, termasuk ke Semenanjung, khusus bagi mewakili ‘Anak Sarawak’ yang bermastautin di sana.

“Nama PDP dipilih untuk memastikan lebih ramai ‘Anak Sarawak’ yang bekerja di luar negeri ini menyumbang dan menyokong kelangsungan parti ini.

“Di selatan tanah air (Semenanjung), PDP sudah mendaftarkan 6,000 keahlian, dengan 3,000 ahli juga adalah pengundi berdaftar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis berkenaan.

Keseluruhannya, majlis itu turut dihadiri 2,500 ahli PDP, termasuk wakil dari enam cawangan parti itu di Johor.

King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu, berkata walaupun tidak lagi menggunakan nama ‘Sarawak’, ia tidak sedikit pun menjejaskan kesetiaan parti itu kepada negeri ini.

“Sarawak tetap di hati kita sampai bila-bila. Di bumi bertuah ini, segala-galanya bermula untuk PDP…penubuhannya sehinggalah diterima menjadi ahli keluarga BN, dan kini dijenamakan semula,” katanya.

Sementara itu, PDP menyatakan sokongan padu kepada Abang Johari untuk memimpin negeri ini, selain mengetuai BN Sarawak memburu misi kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

berita harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini