Shukur sah terima tawaran Terengganu II

0
10

KUALA TERENGGANU: Bekas arkitek skuad Terengganu, Shukur Jusoh bersyukur apabila khidmatnya masih diperlukan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Malah lebih menggembirakan bekas pemain kebangsaan itu apabila tawaran berkenaan hadir tepat pada masanya, kerana setakat ini, dia belum menerima tawaran daripada pasukan lain.

Pemain berusia 28 tahun itu yang mencipta nama bersama skuad Harimau Muda A juga mengakui dia kini tidak perlu memikirkan lagi soal mencari pasukan baru musim depan selepas mendapat tawaran PBSNT itu.

“Walaupun saya tahu tidak akan menyarung jersi skuad utama kendalian Irfan Bakti Abu Salim, tetapi saya tetap berterima kasih kepada persatuan kerana menyenaraikan saya dalam skuad Terengganu II musim depan.

“Saya bertekad mahu membantu pasukan meraih sekurang-kurangnya satu trofi serta mahu memastikan skuad disegani lawan.

“Sudah tentu saya akan berusaha memperagakan aksi yang lebih baik untuk kali ini,” kata Shukur yang mengakui musim ini dia gagal mempamerkan aksi seperti mana yang diharapkan.

Terdahulu, bekas pemain FELDA United dan Selangor itu ditawarkan untuk mewakili pasukan Terengganu II musim depan bersama lima lagi pemain, termasuk penjaga gol, Amierul Hakimi Awang dan pemain pertahanan, Hafizal Muhamad.

Surat tawaran bertarikh 25 Oktober 2017 itu memberi tempoh selama 14 hari mereka memberi jawapan sama ada bersetuju atau sebaliknya.

“Saya menerima tawaran itu, bagaimanapun jika saya ditawarkan beraksi bersama pasukan utama, saya sedia menyahut cabaran itu dan mahu membuktikan corak permainan saya masih lagi bertenaga,” kata pemain kelahiran Kuala Terengganu itu.

bharian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini