KUANTAN: Pemain berpengalaman, Saiful Nizam Miswan mengesahkan akan terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan biarpun jodoh bersama Pahang berakhir musim ini.

Pemain kelahiran Johor itu berkata, tiada istilah bersara baginya selepas Persatuan Bolasepak negeri Pahang (PBNP) menggugurkan namanya dalam perancangan skuad Tok Gajah musim depan.

“Saya tidak kecil hati apabila digugurkan, sebaliknya percaya pada rezeki kerana sedar PBNP sudah pasti mempunyai perancangan mereka sendiri.

“Sebaik tahu nama saya tidak disenaraikan, saya akur dan bersedia untuk bersama pasukan baharu musim depan bagi meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional.

“Saya berterima kasih kepada Pahang yang banyak membantu meningkatkan prestasi terutama pengalaman pahit dan manis sejak menyarung jersi Tok Gajah pada 2009,” katanya.

SAIFUL Nizam Miswan (tengah) mengasak pemain FELDA United, Forkey Doe pada aksi Liga Super 2016. – Foto Luqman Hakim Zubir

Ditanya mengenai pasukan baharu yang akan disertai musim depan, Saiful Nizam berkata, setakat ini beberapa tawaran sudah diterima daripada pasukan beraksi dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana namun dia belum membuat sebarang keputusan dan mungkin melakukannya hujung bulan ini.

Berdasarkan rekod, Saiful Nizam memulakan kerjaya bersama Johor FC pada 2003 hingga 2004, diikuti Johor FA (2005-2007), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2007-2008 dan Pahang pada 2009.

Pencapaian terbaiknya ialah membantu Pahang menjulang Piala Malaysia pada 2013 dan 2014 serta Piala FA dan Piala Sumbangsih pada 2014.

berita harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini