DETIK manis seorang warga emas menyambut hari jadinya bersama keluarga bertukar hiba apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Jalan Tokai Simpang Empat, Alor Setar, malam semalam.

Dalam kejadian jam 9 malam itu mangsa, Low Gaik Choo, 76, hilang tempat tinggal dan mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit apabila rumahnya hangus dijilat api sewaktu dia tiada di rumah kerana keluar meraikan hari jadi bersama keluarga.

Menantunya, yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 53, berkata, rumah terbabit didiami oleh ibu mentuanya bersama seorang cucu berusia sembilan tahun.

Katanya, ketika kejadian kedua-dua mereka tiada di rumah kerana keluar bersama anak-anak lain kira-kira jam 8 malam bagi menyambut ulang tahun kelahirannya di sebuah hotel di Alor Setar.

“Ketika kami sekeluarga sibuk makan dan meraikan hari jadi ibu, tiba-tiba pada jam 9.10 malam ibu mendapat panggilan telefon daripada jirannya yang memaklumkan kebakaran rumah kami.

“Suasana ceria kami bertukar cemas selepas mendapat panggilan terbabit bergegas pulang bagi melihat keadaan rumah.

“Sebaik tiba di rumah ibu mentua, kami dapati api marak dan langsung tidak sempat menyelamatkan barang-barang berharga.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga bersyukur kerana ibu keluar bersama kami dan tiada di rumah ketika kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba, Firdaus Isa berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 9.12 malam.

Katanya, seramai enam anggota bomba dari BBP Jalan Raja bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pihak kami mendapati kebakaran membabitkan rumah dua tingkat kelas B dan usaha memadamkan kebakaran dilakukan.

“Rumah terbabit terbakar 85 peratus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini