KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan berharap pakatan pembangkang memberi keutamaan kepada mereka dalam pengagihan kerusi di negeri berkenaan, dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusinya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, berkata ia memandangkan PAN lebih menonjol di Kelantan berbanding parti lain dalam pakatan pembangkang.

“Setakat ini jawatankuasa yang ditubuhkan belum memutuskan jumlah kerusi PAN akan bertanding daripada 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan.

“Bagaimanapun, bagi peringkat Parlimen, pakatan pembangkang di peringkat pusat memutuskan PAN bertanding empat kerusi, selebihnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Wan Abdul Rahim berkata, pengagihan kerusi pada PRU-14 berdasarkan parti yang menguasai sesebuah negeri.

“Tiga negeri yang diterajui PAN ialah Kelantan, Terengganu dan Melaka. Kita berharap banyak peluang akan diberikan kepada PAN di Kelantan.

“Kita juga mempunyai banyak calon yang berkebolehan dalam pelbagai bidang, selain calon wanita.

“Jadi, tidak timbul isu mengatakan PAN tidak dapat bertanding di Kelantan kerana kekurangan calon berbanding parti lain,” katanya.

berita harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini