SEPANG: Selepas kali ketiga tersenarai ke dalam Program Podium, ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg berharap dapat menyumbang lebih banyak kejayaan apabila program elit itu kini menyediakan lebih banyak kemudahan buat atlet terpilih.

“Berbanding dulu, kali ini mereka (Institut Sukan Negara (ISN) akan menyediakan pakar psikologi, pasukan bio mekanik dan pakar fisioterapi yang akan ikut kami bukan saja ke kejohanan disertai tetapi juga ketika kem latihan.

“Usaha menambah baik ini sudah pasti membantu daripada segi latihan dan persiapan kami,” katanya selepas menerima Anugerah Ikon Sukan Yakult 2017 sebaik tiba dari Gold Coast di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, di sini, hari ini.

PANDELELA Rinong menerima Anugerah Yakult daripada Pengarah Urusan Yakult, Hiroshi Hamada sebaik tiba dari Gold Coast di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pandelela, 24, disenarai ke dalam Program Podium sejak dilancarkan pada 2016 lalu dan sekali lagi dipilih bagi program tahun depan bersama enam lagi penerjun negara.

Keseluruhan 146 atlet negara dipilih ke dalam Program Podium tahun depan berbanding 117 tahun ini.

Penerjun yang berasal dari Sarawak itu, berkata program itu banyak membantu atlet mencapai kejayaan dan menjadi tanggungjawab buatnya untuk menghasilkan keputusan yang baik.

Terdahulu, Pandelela menerima sijil penghargaan dan tajaan Yakult selama enam bulan selepas diiktiraf pemenang Anugerah Ikon Sukan Yakult 2017 daripada Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada.

PANDELELA Rinong ceria sebaik tiba dari Gold Coast di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Anugerah itu diberikan atas pencapaian cemerlangnya di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan Grand Prix Terjun FINA 2017 di Kuala Lumpur bulan lalu serta kejohanan di Gold Coast berakhir semalam.

“Ini adalah kali pertama saya menerima anugerah ini dan ia menjadi pembakar semangat untuk saya beraksi lebih baik,” katanya yang membawa pulang satu pingat emas acara 10 meter platform individu dan satu perak ketika bergandingan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama wanita di Gold Coast.

berita harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini