Polis awasi Grand Prix Brazil

0
7

SAO PAULO: Pihak penganjur Grand Prix Brazil, hari ini mengambil langkah memperketatkan kawalan keselamatan perlumbaan Formula Satu susulan insiden rombakan bersenjata ke atas ahli pasukan Mercedes ketika mahu meninggalkan litar.

Badan pentadbir Formula Satu, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam satu kenyataan berkata, pihak polis Sao Paulo sudah mengambil langkah tambahan berikutan insiden yang berlaku semalam.

“Kawalan keselamatan diperketatkan dengan menempatkan lebih ramai anggota polis bagi perlumbaan ini.”

Selain itu, pihak FIA turut mengingatkan agar semua yang terbabit dengan perlumbaan ini supaya lebih berwaspada ketika pergi dan meninggalkan litar.

Tindakan keselamatan juga diambil dengan mengambil semula pas tempat letak kereta selepas meninggalkan litar dan memakai pakaian tanpa jenama pasukan.

Juara dunia empat kali, Hamilton sebelum ini sudah menggesa agar pihak penganjur dan pasukan supaya memastikan keselamatan semua petugas.

“Ada ahli pasukan saya diacukan pistol malam semalam ketika mahu meninggalkan litar di Brazil. Tembakan dilepaskan, satu lagi pistol diacukan di kepala. Ini sesuatu yang amat menakutkan,” kata pelumba Britain itu menerusi laman Twitter.

“Mohon doakan keselamatan kami yang bertugas di sini. Ini berlaku setiap tahun di sini. F1 dan semua pasukan perlu mengambil langkah keselamatan yang lebih ketat, tiada lagi alasan.”

Jurucakap pasukan Mercedes mengesahkan, barangan berharga dilarikan perompak namun tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.

Beberapa staf FIA juga turut diugut oleh perompak bersenjata itu yang cuba memecahkan cermin kereta dalam insiden berkenaan.

Pelumba Britain, Jenson Button juga pernah menjadi mangsa cubaan merompak pada 2010, tahun di mana beliau memenangi gelaran bersama Brawn GP namun pihak polis berjaya menyelamatkan keadaan selepas menyedari perompak bersenjata cuba mendekatinya. -Reuters

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini