ALOR SETAR: Kedah berhasrat menjadikan Kompleks Pendidikan Pondok Moden, di sini, setanding dengan Pondok Moden Darussalam Gontor, Indonesia (PMDG) dalam melahirkan pelajar yang berkebolehan dalam bidang agama dan akademik.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, berkata pihaknya bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Jabatan Pendidikan negeri amat berpuas hati dalam lawatan kerja ke PMDG, pada 28 Oktober lalu, dalam mendapatkan perkongsian yang mampu memberi manfaat bersama.

Katanya, pihaknya mengagumi sistem diguna pakai PMDG, sejak 92 tahun lalu apabila ia dilihat antara sekolah pondok yang disegani dan kaedah pembelajaran menepati kehendak penduduk negeri ini.

“Ibu bapa di Kedah suka menghantar anak ke sekolah agama, dengan menggunapakai sistem itu sudah pasti, kita dapat melahirkan pelajar mampu berbahasa Arab tanpa perlu ke negara Arab dan berbahasa Inggeris tanpa perlu ke luar negara.

“Kita berpendapat sistem terbabit perlu dibawa dan diserap ke dalam sistem pendidikan agama di kompleks terbabit, malah ia dipersetujui Pengarah Pendidikan negeri.

“Sudah pasti apabila ia dilaksanakan, kompleks terbabit mampu memperkasakan sistem sedia ada dan melahirkan lebih ramai pelajar berwibawa.

“Malah pembiayaan membabitkan kompleks terbabit juga yang akan dibiayai sepenuhnya oleh LZNK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mahadzir Abdul Hamid (BN – Jeneri) dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.

Mahadzir ingin mengetahui mengenai penubuhan Kompleks Pendidikan Pondok Moden di bangunan lama Kolej Universiti Insaniah di Mergong, di sini, termasuk komponen dan kaedah pembiayaan sama ada ditanggung LZNK sepenuhnya atau perkongsian dengan kerajaan negeri.

Ketika menjawab soalan tambahan dibangkitkan Ahmad Yahya (PAS – Alor Mengkudu) mengenai syarat utama pendaftaran sekolah agama dan pondok di negeri ini, Mohd Rawi berkata, pihaknya merekodkan 18 pusat tahfiz persendirian masih belum berdaftar dan 14 daripadanya, sudah mengemukakan permohonan.

“Permohonan akan diproses dengan meletakkan syarat yang perlu dipatuhi ialah status jemaah sekolah, pendaftaran wakaf tanah, pengurusan sumber kewangan, memiliki minimum 20 pelajar dan kemudahan sekolah.

“Pegawai pendidikan juga melakukan lawatan ke atas empat sekolah yang belum memohon dan didapati ada perkara yang belum dipenuhi perlu dikemaskini sebelum tindakan lanjut boleh dilakukan,” katanya.

bharian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini