GEORGETOWN: Polis memburu tiga lelaki warga Indonesia yang meloloskan diri dalam serbuan di sebuah rumah di Changkat Sungai Ara, Bayan Lepas, di sini, pada 4 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zainol Samah, berkata suspek terbabit dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah di sekitar negeri ini.

Zainol berkata, modus operandi kumpulan itu adalah dengan menetap sementara di dalam kawasan hutan dan mensasarkan perumahan di sekitar kaki bukit untuk dipecah masuk.

“Suspek memasuki negara secara sah dan datang ke negeri ini dengan bas seterusnya akan pergi ke kawasan bukit bagi meninjau perumahan di kaki bukit yang menjadi sasaran mereka.

“Suspek akan memanjat semula bukit dan bersembunyi di dalam hutan selepas melakukan kegiatan samun berkenaan.

“Malah, suspek akan melakukan samun di beberapa rumah lagi sebelum balik ke Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan polis kira-kira jam 3 pagi itu, seorang suspek berusia 42 tahun ditahan manakala tiga lagi lelaki berusia 35 hingga 54 tahun sempat meloloskan diri.

“Kita sudah mengenal pasti tiga suspek terbabit. Justeru, polis akan menyenarai hitam mereka sebagai penjenayah dikehendaki.

“Hasil siasatan awal terhadap suspek yang ditahan mendapati mereka terbabit dalam 10 kes pecah masuk rumah iaitu enam kes di kawasan daerah Barat Daya dan empat lagi di kawasan daerah Timur Laut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Difahamkan, suspek bersama tiga lagi rakannya yang meloloskan diri itu aktif dalam kegiatan pecah rumah sejak Januari lalu.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini