Melaka: Bagi membuktikan rasa cinta dalam diri masing-masing yang masih menebal selepas setahun mendaftarkan perkahwinan, pasangan suami isteri mengenakan pakaian pengantin mereka ketika menyertai larian Giving Is Living Charity Run 2017 di Kota Laksamana, Banda Hilir di sini, semalam.

Difahamkan, pasangan berkenaan mendaftarkan perkahwinan mereka ketika berada di Australia pada 25 Jun 2016 lalu dan mengadakan majlis keraian sebagai suami isteri, malam kelmarin sebelum menyertai larian itu, semalam.

Lebih menarik apabila Cho Kar Khuien, 32, dan isterinya Lim Chiu Sia diiringi 17 rakan lelaki yang memakai tutu (skirt pendek) warna-warni, sekali gus mencuri tumpuan 400 peserta lain mengambil bahagian dalam larian itu.

Malah, pasangan itu tidak putus-putus menerima ucapan tahniah selain dipelawa bergambar kenangan oleh peserta dan penduduk sekitar yang tertarik dengan kehadiran mereka.

Dalam keadaan cuaca redup akibat hujan melanda bandar raya ini pada awal pagi, pasangan itu tetap bersemangat menamatkan larian enam kilometer (km) dengan Cho memakai tuksedo manakala Lim mengenakan gaun putih pendek.

Cho berkata, Lim sememangnya gemar mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal terutama apabila membabitkan acara amal dan dia sentiasa menyokong isterinya sebagai tanda kasih sayang.

“Apabila isteri beritahu mahu pakai baju pengantin kami pada pagi ini (semalam), saya tanpa berfikir panjang terus setuju. Bukan mahu tarik perhatian orang ramai tetapi menyokong isteri selain menggambarkan keharmonian rumah tangga dan rasa cinta antara kami.

“Pada awalnya saya segan serta risau kalau gelagat kami dan rakan berpakaian pelik dicemuh orang ramai, tapi sebaliknya berlaku. Saya teruja kerana kami mendapat layanan istimewa, dan pengalaman hari ini (semalam) menjadi kenangan manis buat saya serta isteri,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata, dia mengambil keputusan mengajak Cho mengenakan pakaian pengantin mereka ketika menyertai larian selepas dicadangkan rakan yang turut mengambil bahagian.

“Saya dan suami bukan saja mengukir kenangan berharga, malah pada masa sama membuat amal dengan membantu insan memerlukan,” katanya.

Menurutnya, mengikut perancangan awal, dia dan suami sepatutnya mengikuti larian 12 km namun megambil keputusan berlari enam km saja selepas mengambil kira jenis pakaian mereka.

“Walaupun pakai gaun, saya dan suami menamatkan larian dalam masa 50 minit, memang sukar untuk berlari dengan lebih laju dengan berpakaian seperti ini tetapi kami tiba di garisan penamat,” katanya.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini