KUCHING: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) mahu memastikan ‘kuota’ empat kerusi Parlimen diperuntukkan kepada parti itu dikekalkan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ia seiring dengan kedudukan PDP atau Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebelum ini sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Selain Bintulu yang dikuasai Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, tiga lagi kerusi Parlimen milik parti sebelum ini ialah Baram (Anyi Ngau), Mas Gading (Anthony Nogeh Gumbek) dan Saratok (Tan Sri William Mawan Ikom).

Bagaimanapun, Mawan yang juga Pengerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan bekas Presiden SPDP bertindak keluar dari parti itu dan menubuhkan parti baharu, Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

King Sing ketika mengulas perkara itu menyatakan keyakinannya keempat-empat kerusi tradisi itu pasti dipertahankan dalam PRU14 yang dijangka diadakan tahun hadapan.

Bagaimanapun, beliau memberi isyarat jelas bahawa Mawan tidak akan dikekalkan di Parlimen Saratok yang disandangnya ketika ini.

“Mengenai kedudukan Parlimen Saratok, ia adalah milik kita. Mengenai kedudukan beliau (Mawan), biarlah Majlis Tertinggi PDP membuat keputusan mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Nama dan Logo PDP, di sini malam tadi oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak.

bharian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini