SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Cawangan Kluang menahan dua warga Vietnam, pagi semalam selepas disyaki memberi rasuah RM10,000 kepada seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi melepaskan dua bot negara itu yang dikesan melakukan beberapa kesalahan.

Dua suspek lelaki berusia 27 dan 28 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor Cawangan Kluang kira-kira 11 pagi semalam bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan awal, anggota APMM berpangkat Bentara Kanan yang bertugas di APMM Mersing itu diberi rasuah RM10,000 ketika sedang melakukan rondaan Operasi Perkasa Selatan di Perairan Pulau Harimau, Mersing.

Katanya, wang itu sebagai dorongan untuk melepaskan dua bot Vietnam yang dikesan melakukan beberapa kesalahan seperti gagal mengemukakan lesen bot manakala memiliki peralatan tangguk tunda di atas bot selain terdapat dua orang yang tidak mempunyai pasport sah.

Kedua-dua suspek yang juga tekong bot itu juga ditahan kerana terlebih dahulu memberikan wang rasuah kepada pengadu sebanyak RM500 dan RM800 bagi melepaskan bot mereka atas kesalahan yang sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(b)Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan tangkapan itu dan memberitahu suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini