PARIS: Pengurus Ireland Utara, Michael O’Neill menyalahkan penalti kontroversi pada aksi pertama mengakibatkan impian skuadnya ke Piala Dunia terkubur, selepas tewas 0-1 secara agregat kepada Switzerland pada aksi playoff, awal pagi tadi.

Penalti yang disempurnakan Ricardo Rodriguez di Belfast pada Jumaat lalu terbukti menjadi penentu bagi aksi membabitkan kedua-dua pasukan itu, selepas aksi kedua di Basel berlangsung dalam keadaan sukar susulan hujan lebat.

GOL Ricardo Rodriguez (kiri) menerusi sepakan penalti pada playoff pertama di Belfast menjadi punca kegagalan skuad Michael O’Neill ke Piala Dunia 2018. – Foto Reuters

O’Neill berkata, pemainnya masih dipalit rasa kurang senang berikutan keputusan pengadil dari Romania, Ovidiu Hategan yang menganugerahkan Switzerland penalti, apabila sepakan voley Xherdan Shaqiri terkena bahu Corry Evans dalam keadaan tidak sengaja.

“Jelas yang kami tersingkir disebabkan oleh keputusan yang buruk pada perlawanan pertama,” kata O’Neill kepada Sky Sports selepas aksi timbal balik kedua berakhir tanpa jaringan.

“Jika tidak kerana penalti, kami tidak akan bermain pada tambahan masa. Pemain ini akan diingati kerana prestasi mereka malam ini.

“Ia cara yang amat memedihkan untuk tewas. (Namun) Kami perlu melupakannya.”

Kontroversi itu juga menyaksikan Evans terpaksa meminta maaf susulan tindakan isterinya menggelar pengadil sebagai ‘gipsi Romania’, di laman Twitter.

Namun, dalam pertembungan kedua-dua pasukan, Switzerland jelas pasukan lebih baik apabila menempah tempat ke pusingan akhir buat kali keempat berturut-turut.

Tetapi skuad bimbingan Vladimir Petkovic itu mensia-siakan deretan peluang pada babak pertama dengan penyerang, Haris Seferovic harus dipersalahkan, ketika Rodriguez melakukan aksi menyelamat apabila mengeluarkan bola tandukan Jonny Evans di depan gawang.

“Semua orang berkata ia hampir selesai, tetapi menentang pasukan seperti itu adalah satu pergelutan. Saya amat teruja apabila kami mencapai sasaran,” kata penjaga gol Switzerland, Yann Sommer kepada stesen televisyen, RTS.

“Kurang bernasib baik kerana kami tidak begitu cekap, sedangkan ia sepatutnya boleh menjadi lebih mudah.

“Ia perlawanan yang sukar. Sukar untuk kami bermain dengan keadaan padang seperti itu dan juga lawan kami,” kata pemain Stoke City, Shaqiri.

Ini adalah kali kedua buat Switzerland gagal menang dalam kempen kelayakan selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan B di tangga kedua di belakang Portugal sekali pun menang sembilan daripada 10 perlawanan. – AFP

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini