NEW DELHI: Jerebu tebal mengandungi toksik 10 kali ganda lebih tinggi daripada had dicadangkan menyelubungi ibu kota India hari ini, ketika pegawai kerajaan berusaha menangani krisis kesihatan umum yang sudah masuk minggu kedua.

Kiraan Kedutaan Amerika Syarikat menunjukkan paras partikel beracun, PM2.5 sudah mencecah 498 menjelang tengah hari ini, dibandingkan dengan had kualiti udara baik pada 50.

Pejabat cuaca India berkata, hujan diramalkan dalam masa tiga hari lagi yang boleh membantu menghilangkan jerebu.

“Hujan dijanga di negeri sekitar New Delhi dan di bandar raya itu dalam masa tiga hari, dan ini boleh menyebabkan perubahan dalam aliran angin di wilayah itu.

“Jerebu akan mula surut menjelang esok,” kata saintis di Jabatan Kaji Cuaca India, Charan Singh.

Namun satu-satunya jabatan ramalan cuaca persendirian India, Skymet, berkata jerebu padat akan berterusan di New Delhi dan kawasan sekitar untuk sekurang-kurangnya dua hari lagi.

Sementara itu, Mahkamah Agung dijangka mendengar petisyen difailkan peguam New Delhi untuk mengarahkan pihak berkuasa kerajaan menangani pencemaran udara yang tidak boleh diterima itu.

Kerajaan negeri New Delhi mengisytiharkan kecemasan kesihatan umum minggu lalu selepas paras pencemaran meningkat, fenomena tahunan yang dipersalahkan ke atas gabungan pembakaran ladang di negeri di utara, ekzos kenderaan dan debu. – Reuters

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini