KUALA LUMPUR: Pasukan perubatan Malaysia Relief Agency (MRA) memberi pemeriksaan kesihatan percuma kepada 65 penduduk kampung terjejas akibat banjir teruk di Pulau Pinang.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata bantuan diberi menerusi perkhidmatan klinik bergerak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Tasek, Bukit Mertajam dengan kerjasama sukarelawan dari Royal College of Medicine Perak (RCMP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Gerakan Belia 4B Pulau Pinang.

“Pemeriksaan kesihatan percuma diberi bagi memastikan tahap kesihatan mereka memuaskan dan tiada kemudaratan serius susulan banjir besar minggu lalu.

“Sukarelawan dari RCMP dan UniKL turut membersihkan beberapa kediaman penduduk kampung selain menyumbang peralatan elektrik dan alat penapis air.

“Wakil JKKK setempat menghargai bantuan MRA dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merangkumi sukarelawan muda dari Kedah, Perak, Selangor serta Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Daud berkata, pasukan perubatan MRA memeriksa kesihatan 40 pelajar perempuan Maahad Tahfiz Baitul Quran di Tasek Gelugor.

Katanya, bantuan makanan asas dan wang tunai sumbangan orang ramai turut diserahkan kepada pentadbir maahad untuk meringankan beban dialami penghuni akibat banjir.

“MRA Pulau Pinang dan Kedah menutup bilik gerakan serta depoh barangan semalam selepas melihat keadaan mulai reda.

“Bagaimanapun, kita sentiasa memantau situasi dan amaran banjir daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.

berita harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini