KUALA LUMPUR: Liga Badminton AirAsia-BAM peringkat negeri Perlis berlangsung Khamis lalu hingga semalam jelas mencapai matlamat ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mahu melahirkan pemain mempunyai semangat berpasukan.

Menurut Presiden Persatuan Badminton Perlis (PBPs), A’amar Hashim, kejohanan dianjurkan membabitkan beberapa sekolah itu juga berjaya mencungkil bakat baharu yang mampu diserapkan ke pasukan projek negeri.

“Kejohanan ini memang bertujuan membina semangat berpasukan dalam kalangan pemain kerana sebelum ini kita hanya melihat mereka daripada aspek individu saja. Ia adalah harapan BAM sendiri untuk mencapai matlamat berkenaan kerana sudah lama kita tidak merangkul kejuaraan berpasukan, dengan kali terakhir pada 1992 (Piala Thomas),” kata ketika dihubungi hari ini.

PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (duduk tengah) bersama sebahagian pemain, pengurus pasukan dan AJK kejohanan pada majlis pelancaran Liga Badminton AirAsia-BAM di Kompleks Kejiranan Presint 11. – Foto Luqman Hakim Zubir

Jelasnya, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengharapkan semangat berpasukan harus diterapkan dari peringkat negeri.

“Apabila kejohanan berpasukan diadakan ia tidak bermakna kita kurang menitikberatkan soal individu. Secara automatik kelebihan individu dapat dilihat, cuma kita mahu melihat bagaimana pemain mengawal tekanan dan mencongak taktikal apabila bermain kejohanan berpasukan.

“Secara keseluruhan kejohanan ini berjalan lancar baik untuk pasukan lelaki mahupun wanita. Dalam masa sama kita berjaya melihat sekolah mempunyai pemain berbakat. Kita juga ada menubuhkan jawatankuasa untuk melihat pemain berkebolehan diserapkan ke skuad negeri,” katanya yang juga Naib Presiden BAM.

Kata A’amar, matlamat mereka untuk melahirkan lebih ramai lagi pemain berbakat juga tercapai apabila setiap sekolah di Perlis sudah membuka mata bahawa mereka harus mempersiapkan pasukan mantap menjelang edisi kedua kejohanan berkenaan.

“Tahun depan setiap sekolah sudah tentu akan membuat persediaan rapi dan untuk edisi pertama ini juga kita dapat lihat semangat mereka dalam membentuk pasukan mantap walaupun mereka hanya mempunyai masa beberapa bulan untuk melakukan persiapan,” katanya.

Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kanan) bersama dengan sebahagian AJK kejohanan Liga Badminton AirAsia-BAM di Kompleks Kejiranan Presint 11. – Foto Luqman Hakim Zubir

Johan bagi pasukan lelaki kejohanan yang membabitkan 11 buah sekolah, milik Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan (Sekolah Sukan Negeri Perlis) manakala naib juara diraih Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Sheikh Ahmad dan tempat ketiga disandang Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra.

SMK Syed Hassan juga berjaya merangkul kejuaraan bagi kategori wanita selepas mengetepikan Sekolah Menengah Kebangsaan Arau dan tempat ketiga digondol Sekolah Menengah Kebangsaan Derma.

Kejohanan berkenaan membabitkan pemain bawah 18 tahun dengan kategori lelaki menggunakan format seperti Piala Thomas – tiga perseorangan dan dua beregu, manakala untuk wanita pula membabitkan dua perseorangan dan satu beregu.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini