MELAKA: Kerajaan negeri komited untuk kekal sebagai peneraju kepada pembangunan teknologi hijau bukan saja di negara ini, malah di peringkat global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata ia sekali gus membuktikan Melaka kini berada pada landasan sebenar, sebagai satu-satunya negeri yang menjadikan pembangunan hijau sebagai keutamaan dalam model pembangunan negeri.

Beliau berkata, usaha yang sudah bermula sejak tujuh tahun lalu itu apabila kerajaan negeri melancarkan visi yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan Melaka sebagai Negeri Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.

“Idea visi ini diinspirasikan daripada ikrar yang dibacakan sendiri oleh Datuk Seri Najib pada 2009 sempena Persidangan United Nation Framework For Climate Change (UNFCCC) Conference Of Parties (COP) ke-15 di Copenhagen, Denmark.

“Ikrar itu menyebut mengenai hasrat Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 40 peratus menjelang 2020. Susulan itu, kami melaksanakan blue print teknologi hijau Melaka dan menyediakan beberapa senarai indikator yang disarankan oleh pihak Urban Environmental Accords (UEA) bagi tujuan menepati spesifikasi pembangunan hijau,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri menubuhkan Kounsil Teknologi Hijau Melaka dan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka bagi memastikan aspirasi berkenaan dapat direalisasikan.

Menerusi penubuhan itu, lima fasa sudah dirangka bagi menjayakan visi berkenaan, iaitu pembangunan bandar hijau, kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui serta pengangkutan dan kesedaran hijau yang dilaksanakan secara serentak bagi memastikan kefahaman mengenainya dibuat secara menyeluruh.

“Melaka kini berada di landasan terbaik untuk mencapai visi itu memandangkan ekonomi negeri berada di tahap terbaik,” katanya.

Idris akan mengakhiri lawatan kerjanya ke Jerman, hari ini sempena International Urban Cooperation Programme 1st City-To-City Event di Brussels, Belgium, sejak Ahad lalu.

Kuala Lumpur dijadual menjadi tuan rumah kepada penganjuran World Urban Forum Februari tahun depan.

berita harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini