SEKURANG-KURANGNYA 135 orang maut manakala ratusan lagi cedera akibat gempa bumi bermagnitud 7.3 di sempadan Iran-Iraq, hari ini.

Gempa bumi itu turut mengakibatkan tanah runtuh yang menyukarkan lagi usaha mencari dan menyelamat mangsa.

Penyiar nasional Iran, IRIB berkata, 129 mangsa terkorban manakala agensi berita IRNA berkata kira-kira 300 orang cedera dan jumlah itu dijangka meningkat.

Enam lagi mangsa dilaporkan terkorban di Iraq berhampiran sempadan Iran.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa bumi itu berpusat 30 kilometer barat daya Halabja di Kurdistan, Iraq, 9.20 malam tadi waktu tempatan (2.20 pagi waktu Malaysia) apabila ramai penduduk berada di rumah.

Gempa bumi itu dirasai selama kira-kira 20 saat di Baghdad dan pada tempoh lebih lama di wilayah lain di Iraq.

Di Iran, ia menggegarkan beberapa bandar di barat negara itu termasuk Tabriz.

Gegaran turut dirasai di tenggara Turki dari Malatya ke Van, kata AFP.

Sementara itu, ketua perkhidmatan kecemasan Iran, Pir Hossein Koolivand berkata, mereka menghadapi kesukaran menghantar pasukan penyelamat ke kampung yang terjejas.

“Laluan tersekat… juga terdapat tanah runtuh,” katanya.

Bandar Qasr-e Shirin di Kermanshah dan Azgaleh adalah kawasan paling teruk dilanda, menurut IRNA.

Katanya, 30 pasukan Sabit Merah dikerah ke zon itu.

Naib Gabenor wilayah Kermanshah di Iran, Mojtaba Nikkerdar berkata, mereka turut dalam proses mendirikan tiga kem kecemasan.

Di Iraq, pegawai kerajaan berkata, enam mangsa terkorban di wilaya Sulaimaniyah dan 150 lagi cedera.

Datuk Bandar Darbandikhan memberitahu AFP, empat orang terkorban di di bandar itu.

Sementara itu, kanak-kanak dan warga emas maut di Kalar yang terletak 70 selatan Darbandikhan dengan 105 orang cedera.AFP

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini