ALOR SETAR: Kunjungan pemimpin Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke Kedah tidak membabitkan perbelanjaan yang besar pada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata sebaliknya perbelanjaan kunjungan pemimpin tertinggi itu dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) atau UMNO jika ia membabitkan lawatan atas kapasiti sebagai Presiden UMNO.

“Perbelanjaan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) ke Kedah ini bergantung kepada program dan jika ia lawatan parti, maka UMNO akan belanja.

“Seperti baru-baru ini, Perdana Menteri jumpa penjawat awam di Kedah, perbelanjaannya dikeluarkan oleh PMO dan jika ia membabitkan program nasional kita akan pastikan perbelanjaan dari negeri tidak sebegitu tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau) dalam mesyuarat kedua penggal kelima sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.

Mohd Azam ingin tahu kos perbelanjaan Kedah ketika menerima kehadiran Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke sini sedangkan kerajaan negeri harus melaksanakan perbelanjaan berhemah.

Menjawab soalan sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, berkata meskipun kunjungan pemimpin nasional itu memerlukan sedikit perbelanjaan dari Kedah, namun ia berfaedah dalam mendekati rakyat.

Beliau berkata, selain itu kunjungan dua pemimpin tertinggi negara berkenaan juga menguntungkan negeri apabila mereka membawa projek yang memberi faedah kepada Kedah.

“Program yang kita belanja banyak membabitkan pengisian mendekati rakyat sehingga beratus ribu yang datang dan ia harus diteruskan.

“Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pun datang mereka belanja sendiri dan bawa duit serta menguntungkan kita…justeru kita amat mengalu-alukan kedatangan mereka, ” katanya.

bharian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini