KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil alih semua kerja penyelenggaraan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata kementerian kini dalam proses akhir menggubal Akta Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam bagi membolehkan perbadanan itu beroperasi.

Katanya, apabila pindaan diluluskan, pengurusan penyelenggaraan yang kini di bawah tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama (JMB) akan diserahkan kepada perbadanan berkenaan.

“Langkah itu juga adalah penyelesaian masalah penyelenggaraan PPR yang tidak terurus ketika ini terutama berkaitan dengan kemudahan seperti lif dan tempat kumbahan.

“Ini juga adalah langkah kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk rumah mampu milik di seluruh negara terjamin, selain memastikan JMB tidak dibebani kos penyelenggaraan yang mahal,” katanya.

Beliau yang menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini berkata dengan adanya perbadanan itu, pengurusan PPR dikembalikan kepada kerajaan.

Ketika ini, katanya, kerajaan membina rumah PPR dan menyerahkan pengurusannya kepada JMB.

“Oleh kerana pengurusan di bawah JMB sangat menyedihkan dan PPR menjadi kawasan miskin bandar, Perdana Menteri memutuskan kerajaan ambil alih semula pengurusan kerana kita tidak mahu rakyat bayar kos yang mahal untuk penyelenggaraan.

“Perdana Menteri putuskan untuk membantu rakyat miskin, kosnya 100 peratus perlu ditanggung kerajaan,” katanya.

Mengambil contoh kes pengurusan lif di PPR Lembah Subang, Selangor, beliau berkata, kerajaan membayar RM16 juta untuk membaiki 10 lif di kawasan berkenaan.

“Kita tidak dapat bergantung kepada JMB kerana mereka tidak mampu. Tidak seperti kerajaan Selangor kononnya hendak membantu, tetapi mengenakan syarat 20 peratus daripada kos membaiki lif ditanggung JMB.

“Ini mendera rakyat kerana JMB tiada duit,” kata Noh sambil turut mengakui kebanyakan PPR di negara ini mengalami pelbagai isu penyelenggaraan dan memerlukan bantuan untuk menyelesaikannya.

berita harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini