GOMBAK: Lebih 60 pendatang tanpa izin (PATI) terkejut apabila diserbu pihak berkuasa pada hari minggu.

Jabatan Imigresen Selangor semalam menjalankan Ops Ikrar di sebuah pasar raya di Batu Cave, dekat sini.

Dalam serbuan yang dijalankan pada jam 6.30 petang hingga 10 malam itu, pihak imigresen memeriksa seramai 132 warga asing dan menahan 63 PATI atas pelbagai kesalahan imigresen.

Pengarah Imigresen Selangor, Omran Omar, berkata ini adalah kali kedua serbuan dilakukan ke atas pasar raya terbabit.

“Kebanyakkan PATI ini sedang bekerja dan mereka terkejut dengan kehadiran pegawai Imigresen serta mengelak untuk diperiksa kerana tidak menyangka operasi ini di adakan pada petang Ahad atau hujung minggu.

“Majoriti PATI ini bekerja di gerai makan dan kiosk di kaki lima dalam pasar raya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PATI yang ditahan terdiri daripada 31 wanita dan 32 lelaki, berusia antara 19 tahun dan 43 tahun, membabitkan warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India, Sri Lanka dan Myanmar.

“Antara kesalahan adalah tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tamat tempoh pas dan salah guna pas di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Semua yang ditahan dibawa ke pejabat penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor di Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut.

bharian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini