JOHOR BAHRU: Pengarah filem yang juga anak jati Johor, Allahyarham Datuk Jamil Sulong diangkat sebagai Tokoh Seni Budaya sempena Pameran Jamil Sulong: Saksi Seni Daksina yang diadakan selama enam bulan, di Muzium Tokoh Johor, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata pengarah filem itu memainkan peranan besar sebagai penggerak dalam perkembangan industri perfileman negara dan penciptaan lirik lagu.

Sehubungan itu katanya, pameran anjuran Yayasan Warisan Johor (YWJ) itu bertujuan mengiktiraf jasa dan sumbangan seniman terbabit, selain mengangkat tokoh dalam pelbagai genre untuk lebih dikenali oleh generasi masa kini.

“Pameran seumpama ini menjadi wadah dan ruang yang lebih luas untuk mentafsir dan melaksana fungsi dan matlamat penubuhan muzium bersama YWJ, sekali gus berupaya mengeratkan hubungan silaturrahim seni budaya dua hala antara Johor dan Singapura.

“Kerajaan negeri menerusi YWJ menyasarkan kehadiran seramai 10,000 pengunjung pada pameran yang akan berlangsung selama enam bulan bermula hari ini, selain pengunjung dapat melihat foto, keratan akhbar, barang milik peribadi dan anugerah Allahyarham sepanjang hayatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Tokoh Seni Budaya Allahyarham Datuk Jamil Sulong di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah YWJ, Mohd Shahrin Rahmat.

Zulkurnain berkata, hasil seni dan koleksi peribadi milik seniman itu dikumpulkan sejak tahun 2008, selain kerjasama baik yang diberikan Allahyarham termasuk isterinya, Datuk Rosnani Jamil, sekali gus membolehkan ia dipamerkan bagi tatapan umum.

Katanya, pihak muzium harus mencari kepercayaan dan perhatian pengunjung dengan menghasilkan pameran yang selari dengan arus pemodenan teknologi, kualiti, lebih interaktif, selain membawa penonton menghayati pameran itu.

Dalam pada itu, Rosnani berkata, pihaknya menzahirkan rasa syukur, selain tidak dapat menahan sebak atas usaha kerajaan negeri dalam mengembalikan memori suaminya itu.

“Usaha ini begitu memberi kesan mendalam bagi diri saya. Sebaik melangkah masuk ke dalam muzium, semestinya perasaan ini mungkin akan dirasai beliau (Jamil Sulong) sekiranya masih hidup,” katanya.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini