PUSAT hiburan haram di Bandar Puchong Jaya di sini, dikesan menjadi sarang pelacuran warga asing sehingga jam 4 pagi.

Difahamkan pusat hiburan itu yang beroperasi sejak tiga tahun lalu menyediakan lebih 30 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang turut menawarkan khidmat seks.

Bagaimanapun premis itu akhirnya diserbu sepasukan polis dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya menjalankan risikan terhadap pusat hiburan itu selepas menerima maklumat awam.

Menurutnya, hasil serbuan dijalankan pada jam 4 pagi tadi, polis berjaya menahan 20 pekerja dan 31 GRO warga Vietnam, Indonesia, Thailand dan China.

“Kami turut memeriksa 117 individu dalam serbuan itu dan tujuh daripadanya ditahan selepas didapati positif dadah.

“Semua suspek warga asing itu ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Manakala tangkapan individu positif dadah dijalankan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan ke atas premis dijalankan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995,” katanya.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini