KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tenang menjawab bertubi-tubi soalan pemimpin pembangkang selama lebih tiga jam ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya.

Anggota Parlimen Titiwangsa itu ‘diasak’ bersilih ganti oleh barisan anggota Parlimen pembangkang, antaranya Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) dan Khalid Samad (PKR-Shah Alam) membabitkan pelbagai isu antaranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta bayaran tol.

Sesi penggulungan oleh Johari bermula jam 3 petang turut menyaksikan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua bersilih ganti menjalankan tugas, iaitu bermula dengan Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, diikuti Timbalan Yang Dipertua Datuk Seri Ronald Kiandee, dan seterusnya Timbalan Yang Dipertua Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Dalam tempoh itu Johari dilihat selesa dan tenang menjawab setiap persoalan yang dikemukakan.

Pandikar Amin kembali mengambil alih mempengerusikan sidang Dewan Rakyat sebelum sesi pengundian dijalankan kira-kira jam 6.50 petang yang menyaksikan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 di peringkat dasar diluluskan selepas mendapat undian majoriti anggota Parlimen.

Rang undang-undang itu diluluskan melalui undian belah bahagian yang menyaksikan 107 Ahli Parlimen menyokong berbanding 59 yang menolak dan 11 tidak mengundi.

Rang undang-undang itu yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 27 Oktober lalu, dibahaskan selama enam hari sejak 30 Oktober. Ia kemudiannya digulung di peringkat kementerian selama tiga hari bermula 8 November, sebelum diluluskan di peringkat dasar hari ini.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 yang bertujuan memperuntukkan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan dalam Bajet 2018 dijangka dibahaskan di peringkat jawatankuasa bermula esok. – BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini