PORT DICKSON: Projek pembinaan stesen janakuasa elektrik berasaskan arang batu, Jimah East Power di Jimah di sini, sudah 74 peratus siap dan dapat beroperasi pada 2019.

Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB), Tan Sri Leo Moggie, berkata stesen janakuasa milik syarikat itu yang menggunakan teknologi ‘Ultra Super Critical’, adalah yang ketiga selepas stesen Manjung 4 dan Manjung 5 di Perak.

Katanya, dengan kapasiti 2,000 Megawatt, stesen janakuasa itu adalah yang terbesar di negeri ini, dan akan menyumbang kepada kestabilan sistem grid nasional.

“Unit 1 projek ini dijangka mula beroperasi pada 15 Jun 2019, manakala unit 2 pada 15 Disember 2019,” katanya berucap pada majlis Lawatan Tapak Projek Stesen Janakuasa Berasaskan Arang Batu di Jimah di sini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd.

Mengulas lanjut, Moggie berkata, projek bernilai RM12.1 bilion itu, akan meningkatkan sumbangan kapasiti penjanaan TNB kepada 53.2 peratus daripada 51.8 peratus.

Jimah East Power adalah 70 peratus milik TNB, manakala baki 30 peratus dimiliki Mitsui & Co Ltd dan Chugoku Electric Power.

Projek itu menggunakan teknologi pembakaran arang batu dengan kecekapan 40 peratus berbanding 36 peratus kecekapan dicatatkan oleh sistem arang batu berhablur.

Sementara itu, Mohamad berkata, pembinaan Jimah East Power akan merancakkan lagi pelaburan di negeri ini kerana dapat memberikan tenaga elektrik yang mencukupi kepada pelabur.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tidak menerima sewenang-wenangnya pelabur supaya tidak memudaratkan masyarakat setempat dan alam sekitar.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini