Pemain golf Amerika Syarikat (AS), Patton Kizzire menempuh halangan cuaca tidak menentu yang menyebabkan aksi ditangguhkan, sebelum merangkul gelaran Jelajah PGA pertamanya apabila menjuarai OHL Classic, sebentar tadi.

Kizzire mempamerkan aksi menakjubkan dalam pertarungan 36 lubang di hari terakhir saingan yang berlangsung di lapangan Playa del Carmen.

Dia merekodkan 67 di pusingan akhir untuk mengatasi Rickie Fowler dengan kelebihan satu pukulan – dengan catatan keseluruhan 19 bawah 265.

Dalam aksi yang ditangguhkan selama lebih tujuh jam akibat ribut itu, Kizzire, 31, berkongsi kedudukan selaku pendahulu selepas setiap pusingan sehingga ke akhir.

“Saya berbangga kerana dapat melakukannya,” kata Kizzire. “Rickie membuatkan saya terpaksa bekerja keras,” katanya yang memenangi kejohanan pertama ketika Jelajah AS 63.

Kizzire melakukan 66 pukulan di pusingan ketiga di sebelah pagi dan menutup saingan di sebelah petang dengan 67 pukulan.

Fowler juga merekodkan 67 dan menamatkan saingan dengan 18 bawah par secara keseluruhan. Dia merekodkan 65 pada aksi pembukaan dan kekal dengan catatan 67 pertarungan akhir tiga pusingan.

Pemain ini terus mempamerkan aksi lebih dramatik di lubang terakhir apabila melakukan birdie dari jarak jauh di lubang ke-16 dan 17.

Pada lubang ke-18, percubaan birdie Fowler terencat, apabila Kizzire berjaya meletakkan bola berhampiran lubang, sebelum pemain ini melakukan pukulan penamat yang mudah untuk menjulang trofi.

Pemain Korea Selatan, Kim Si Woo menamatkan saingan di tangga ketiga dengan 65 pukulan, empat pukulan di belakang Kizzire. Dia gagal memberikan saingan apabila melakukan double bogey di lubang ke-14. – AFP

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini