SAO PAULO, Brazil: Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel memenangi Grand Prix Brazil awal pagi tadi, manakala juara dunia yang baharu dari Mercedes, Lewis Hamilton menampilkan pemanduan cemerlang apabila meraih tempat keempat walaupun bermula dari belakang.

Hamilton, yang mengesahkan kejuaraan di Mexico dua minggu lalu, terpaksa bermula dari petak akhir selepas jenteranya mengalami kemalangan ketika sesi kelayakan, tetapi mendahului di pertengahan perlumbaan ketika pemandu lain masuk ke pit.

Selepas hanya 10 pusingan, Hamilton sudah berada di tempat kesembilan, dengan kereta keselamatan memimpin perlumbaan selepas berlaku kemalangan pada pusingan pertama.

“Ia amat menyeronokkan. Ia mengingatkan saya kepada zaman perlumbaan go-kart, di mana saya sering bermula di belakang, terutama pada tahun pertama dan kedua saya,” kata Hamilton yang dinobatkan pemandu terbaik oleh peminat menerusi undian dalam talian.

“Saya melakukan kesilapan semalam dan meletakkan diri saya di tempat terburuk. Apabila bangun pagi ini, sasaran saya ialah untuk menebus kesilapan itu.

“Saya cuba untuk meraih tempat ketiga tetapi tayar sudah botak di perlumbaan,” katanya.

Harapan rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas yang bermula di petak depan, untuk memintas Vettel dan muncul naib juara kejuaraan musnah apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Pemandu Finland itu dipintas lawan dari Jerman di awal perlumbaan, dan Vettel terus menguasai perlumbaan di litar Interlagos untuk kemenangan kelima musim ini dan ke-47 kariernya.

Vettel kini mengatasi Bottas dengan kelebihan 22 mata sebelum perlumbaan penutup musim di Abu Dhabi.

Pemandu Finland, Kimi Raikkonen menamatkan perlumbaan di tempat ketiga untuk Ferrari, penamat podium ketiga berturut-turut buat juara dunia 2007 itu.

Pemandu Brazil, Felipe Massa yang akan bersara, mengucapkan selamat tinggal kepada peminat tempatan dengan kedudukan ketujuh untuk Williams.

Bekas pemandu Ferrari itu dibawa ke podium untuk sesi temuramah oleh bekas pemandu, Rubens Barrichello. – Reuters

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini