KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen diberitahu Doktor Perbidanan dan Sakit Puan (O&G), Dr Ting Teck Chin, yang didakwa menyebabkan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, tidak pernah memohon sebagai doktor lokum di Klinik Pakar Pergigian Imperial, tahun lalu.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Zaininah Mohd Zin, berkata setiap doktor perlu memohon menerusi ketua jabatan atau pengarah hospital tempat kerjanya jika mahu membuat lokum di klinik luar.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan kes kematian menantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Seri Ahmad Zahid Hamidi itu sebagai saksi pendakwaan ke-68.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar, Zaininah berkata permohonan kebenaran itu adalah arahan daripada Kementerian Kesihatan.

“Satu borang khas perlu diisi terutama bagi doktor pakar. Kebenaran itu diperlukan kerana ia adalah berlainan daripada bidang tugas hakiki di hospital.

“Dalam kes Dr Teck Chin, beliau masih belum mengemukakan sebarang permohonan untuk melakukan lokum sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Dr Teck Chin yang bertugas sebagai pakar bius di Klinik Pakar Pergigian Imperial secara lokum adalah salah kerana perbuatannya itu boleh mengundang risiko dan tidak mengikut etika perubatan.

Katanya, HKL juga tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang kemungkinan malahan tertuduh harus bertanggungjawab dengan tindakannya itu.

“Berhubung isu warta, Dr Teck Chin belum digazetkan kerana beliau masih menjalani latihan prawarta di mana ada sebulan lagi untuk beliau selesaikan.

“Selain itu, laporan prestasi berhubung latihan prawarta masih belum diterima bagi menentukan sekiranya Dr Teck Chin boleh digazet sebagai Doktor Perbidanan dan Sakit Puan,” katanya.

Dr Teck Chin yang diwakili peguam K Devkumar didakwa menyebabkan kematian Syed Alman Zain di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62 & 64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, antara 6 petang dan 9.05 malam, 1 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor bersambung esok.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini