PARIS: Penyerang Real Madrid, Karim Benzema mengakui dia tidak berpeluang untuk beraksi di Piala Dunia tahun depan, selagi Didier Deschamps kekal sebagai pengurus Perancis.

“Sudah tentu saya mempercayainya (bermain untuk Perancis sekali lagi), saya masih mempercayainya,” kata Benzema yang kini berusia 29 tahun kepada Canal+.

“Tetapi ia sudah melebihi dua setengah tahun dan kamu bukannya bodoh. Selagi Didier Deschamps adalah jurulatih, saya tidak mempunyai peluang untuk kembali ke pasukan Perancis.”

Kali terakhir Benzema yang sudah meledak 27 gol untuk Perancis menyarung jersi skuad kebangsaan ialah pada Oktober 2015.

Tetapi kelibatnya jelas tidak dirindui oleh Deschamps yang berjaya memimpin Perancis ke final Euro 2016 dan menempah tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Russia.

Karier Benzema bersama skuad kebangsaan menerima tamparan apabila dia terperangkap dalam skandal ‘video seks’ yang menyaksikannya dituduh terbabit dalam cubaan memeras ugut rakan sepasukannya, Mathieu Valbuena.

“Sudah tentu saya mahu bermain di Piala Dunia, saya mahu menang sesuatu untuk negara saya,” kata Benzema yang menambah dia tidak berdendam dengan Deschamps.

“Ia jalan yang buntu. Kami bercakap di telefon sebelum Euro tetapi tiada sebarang penjelasan. Selepas itu, dia mengalihkan pandangannya daripada saya.” – AFP

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini